MAJLIS Sepak Takraw Para bakal ditubuh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dalam tempoh setahun akan datang, bagi menyelia aspek sukan itu, melibatkan pemain kurang upaya di seluruh dunia.

Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, badan induk dunia itu juga berhasrat memulakan perbincangan untuk menyemak semula undang-undang permainan dan peralatan yang digunakan dalam sepak takraw para, sebelum membentuk majlis itu.

“Kami akan babitkan diri dengan syarikat pembuatan untuk menentukan spesifikasi seperti jenis jaring, ketinggian tiang, dan peralihan kepada bola yang lebih lembut untuk komuniti sepak takraw para.

Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat (empat dari kanan) menyerahkan barangan kepada Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai simbolik penajaan peralatan jenama Marathon bagi kejohanan Piala Dunia Istaf 2024 di Stadium Tasik Titiwangsa.

“Kami sedar terdapat kumpulan orang kurang upaya yang bermain sepak takraw seperti di Thailand, Malaysia, Singapura dan Myanmar, jadi sudah tiba masanya untuk membentuk majlis ini di bawah Istaf bagi meningkatkan lagi pembangunan dan mempromosikan sukan itu di seluruh dunia,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Halim ditemui selepas menghadiri penyampaian tajaan daripada Syarikat Marathon Thailand, yang menaja peralatan bernilai AS$ 80,000 (RM375,000) kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk digunakan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang dijadualkan bermula 18-26 Mei di Stadium Titiwangsa, di sini.

Marathon, penaja barangan dan peralatan rasmi kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024.

Turut hadir pemangku presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat dan presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Dalam pada itu, Halim berkata, Istaf merancang mengadakan mesyuarat dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) minggu ini diikuti dengan perbincangan dengan Jawatankuasa Paralimpik Thai minggu depan mendapatkan pandangan mengenai pembangunan sukan dengan lebih lanjut dan mendapatkan bantuan dalam mendapatkan pengiktirafan sukan itu daripada Majlis Paralimpik Antarabangsa.