KEJAYAAN Kuala Lumpur menganjurkan Piala Dunia Sepaktakraw 2024, membuatkan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) terinspirasi untuk mempromosikan sukan itu secara global.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan, Istaf berkata, pelaksanaan sistem baharu pada kejohanan itu menjadi bukti keupayaan untuk badan induk sepak takraw dunia itu menyesuaikan diri dan berani berinovasi.

Setiausaha Agungnya, Abdul Halim Kader berkata, kejayaan mengimplementasi sistem mata baharu dengan sekali servis, membuatkan badan induk sepak takraw dunia itu teruja dengan masa depan dan mahu meningkatkan lagi profil sukan itu di peringkat dunia.

Pelbagai pembaharuan berlaku pada Piala Dunia Sepaktakraw 2024, sistem 15 mata dengan satu servis, piala pusingan dan pemberian mata ranking dunia diperkenal. | Flash Sukan/Akma

“Kejohanan ini membuktikan keberkesanan sistem 15 mata baharu, dan peraturan servis satu-satu yang memastikan medan permainan yang sama rata untuk semua negara yang mengambil bahagian.

“Perubahan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan semangat daya saing malah membawa pendekatan yang segar dan dinamik kepada permainan, menjadikannya lebih mendebarkan untuk pemain dan penonton,” kata Halim dalam kenyataan yang diedarkan.

Perancis dan Jerman antara negara Eropah yang mengambil bahagian pada Piala Dunia Sepaktakraw 2024 di Stadium Titiwangsa, 18-26 Mei lalu. |FOTO Flash Sukan/Akma

Beliau juga mengambil kesempatan untuk menzahirkan tahniah kepada Malaysia yang menganjurkan Piala Dunia Sepaktakraw 2024 yang dianggap berjaya dan menjadi penanda aras baharu.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di bawah pimpinan Datuk Mohd Sumali Reduan atas pencapaian cemerlang mereka dan kepada semua negara yang mengambil bahagian atas semangat kesukanan tinggi dan daya saing.

“Kejohanan ini membuktikan sepak takraw bukan sekadar permainan tetapi juga bukti keberanian, kemahiran dan perpaduan antarabangsa,” katanya.

Pada kejohanan yang berakhir 26 Mei lalu, Malaysia meraih dua kejuaraan dalam acara regu dan double, manakala Thailand muncul juara regu berpasukan, sekali gus membawa pulang piala pusingan, Piala Dunia yang kali pertama diperkenalkan PSM dalam usaha meningkatkan prestij kejohanan.