PEMAIN tengah Sri Pahang FC, David Rowley bergegas pulang dari Jerman selepas mendapat panggilan ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya walaupun sudah hampir tiga tahun tidak menemui keluarganya di sana.

Rowley juga berterima kasih kepada Kim Pan Gon kerana memilih dirinya dan dia percaya dengan kekuatan pasukan ini dan mampu memberikan tentangan hebat dalam aksi di Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti.

Dia turut memuji corak pengurusan dan latihan pasukan oleh KPG yang dianggapnya sebagai lain dari yang lain dan mempunyai tahap profesional yang sungguh tinggi.

Aksi Rowley ketika latihan

“Saya berbangga apabila jurulatih menyenaraikan nama saya dan saya langsung pulang ke Malaysia dari Jerman untuk menyertai kem latihan pusat. Saya beritahu isteri yang saya terpaksa pulang ke Malaysia dan pada awalnya dia terkejut tetapi saya buat keputusan ini demi bola sepak meskipun sudah tiga tahun tidak berjumpa keluarga.

“Kita tahu pasukan kali ini banyak muka baharu tetapi bagi saya kita masih mempunyai pasukan yang kuat dan boleh memberikan saingan yang hebat kerana kita tahu kita mempunyai pemain yang kuat di bahagian tengah.

“Perkara ini sangat bagus buat pasukan kerana kami akan mendorong setiap dari kami untuk beraksi lebih baik untuk bermain pada tahap yang lebih tinggi dan saya secara peribadi berharap dapat terpilih dalam senarai akhir 23 pemain.

“Jurulatih KPG mempunyai pelan untuk setiap pemain bermula dari kami bangun sehingga kami tidur. Setiap hari dia akan membuat video analisa terhadap pasukan lawan dan mempunyai tahap profesionalisme yang sangat tinggi yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini,” katanya yang ditemui ketika sesi latihan rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Menjelang aksi persahabatan menentang Kemboja pada Jumaat, Rowley yang kini fasih berbahasa Melayu hanya akan mengikuti taktikal serta arahan jurulatih dan akan cuba menjaringkan gol serta membantu pemain-pemain muda jika diturunkan.

David Rowley terpilih ke skuad senior kebangsaan selepas beraksi cemerlang bersama Sri Pahang dengan berjaya menjaringkan enam gol dalam kempen Liga Malaysia musim ini.