MENJELANG tahun 2024, masalah gaji diharap tidak terus membelenggu kelab-kelab di bawah Liga Malaysia, namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, beberapa kelab sudah didapati mengalami masalah tunggakan bayaran gaji kepada pemain.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memandang isu gaji yang sedang digembar-gembur ini sebagai satu perkara yang tidak terlalu serius dan masih boleh dicegah.

Meskipun diketahui, beberapa kelab seperti Kuala Lumpur (KL) City FC, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan terbaharu, Perak FC sedang dihurung masalah gaji, Noor Azman masih yakin bahawa setiap kelab itu mampu menyelesaikan isu berkenaan.

CEO Interim Perak FC pernah menjawab mengenai isu gaji yang baru melanda pasukan.

“Kita berharap agar masalah gaji ni akan diselesaikan dengan cepat sbb dia bagi kesan kepada pasukan kebangsaan.

“Perkara ini di bawah tanggungjawab MFL, jadi Presiden dan Datuk Stuart Ramalingam nampaknya sudah berbincang dan adakan mesyuarat mengenai perkara ini agar isu gaji dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Di peringkat FAM, kami tak nampak masalah ini terlampau serius dan kiranya masih boleh diurus lagi. Perkara ini beri impak kepada kelab, dan kelab sahaja yang mampu menyelesaikan masalah ini jadi kita perlu bagi ruang kepada mereka,” ujar Noor Azman ketika ditemui oleh FLASH SUKAN.

Sri Pahang FC antara pasukan yang mempunyai tunggakan gaji kepada pemain.

Dalam perkembangan sama, Noor Azman juga menjawab pertanyaan media mengenai ulasan daripada salah seorang pengkritik sukan tanah air, yang menyentuh tentang impak daripada isu gaji oleh beberapa kelab Liga Malaysia.

“Pengkritik sukan ini kadang-kala tidak faham situasi, dia hanya suka bercakap. Dia perlu faham kita punya ekosistem. Untuk kritik itu senang tetapi untuk uruskan, adalah tidak mudah,” tegasnya.

Tidak dinafikan, semakin dibiarkan masalah gaji ini, semakin merebak ‘penyakit’ atau barah isu tunggakan gaji ini kepada para pemain. Setiap kelab yang berkaitan wajar mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah yang kian tular ini.