KUALA Lumpur (KL) City FC yang mempunyai masalah tunggakan gaji terhadap pemain dan pihak terlibat pada musim lalu kelihatan mempunyai peluang cerah untuk kekal beraksi di Liga Super 2024-25.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyatakan, hal ini kerana kelab itu sendiri dalam fasa akhir untuk melunaskan segala hutang yang tertunggak.

Stuart yang ditemui di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil juga tampak tidak bimbang dengan isu yang menimpa KL City kerana baginya, masalah yang mereka lalui kini tidak serius berbanding isu pasukan Kedah.

“Kita sudah mendapat maklumat daripada pihak KL City, dimana nereka kini sedikit sebanyak sedang mencatur jalan penyelesaian tentang isu gaji ini. Jadi, perkara akan dibawa ke mesyuarat FIB untuk pertimbangan.

“Kita melihat setakat ini, isu mereka tidak serius seperti yang kita dengar,” ujarnya.

Stuart Ramalingam

Sementara itu, Stuart turut memberitahu bahawa pihak MFL akan membuat sesi temuduga dengan empat pasukan daripada Liga M3 yang membuat permohonan untuk beraksi di Liga Super musim ini.

“Seperti yang saya laporkan sebelum ini, proses temuduga melibatkan empat pasukan yang buat permohonan untuk naik ke Liga Super dengan hanya satu lesen sahaja akan diberikan.

“Kita telah anjakkan temuduga ke minggu depan disebabkan waktu jawatankuasa untuk berjumpa. Jadi hari Isnin ini temuduga akan dijalankan untuk keempat-empat pasukan,” katanya.

Satu lesen khas akan diberikan kepada pasukan liga amatur ini selepas Kelantan FC gagal mendapat lesen kebangsaan akibat gagal mengemukakan dokumen berkaitan kepada First Instance Body (FIB).

Terdahulu, FLASH SUKAN juga melaporkan bahawa status pasukan Kedah Darul Aman FC bakal ditentukan selepas waktu penyerahan maklumat tambahan berakhir iaitu pada tanggal 5 Mac 2024.