ISU keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang teruk ketika final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC pada Jumaat telah mendapat perhatian serius daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).

KBS menerusi menterinya, Hannah Yeoh berkata pihak kementerian telah mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan stadium, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mencari masalah sebenar dan menunggu pihak PSM mengeluarkan laporan yang akan dikongsi kepada orang awam secepat mungkin.

“Semalam saya telah menghabiskan masa hampir satu hari berjumpa dengan Perbadanan Stadium Malaysia untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mencari punca masalah yang kita hadapi ketika penyediaan padang untuk final Piala Malaysia dan laporan sedang disiapkan dan nantikan keputusan yang akan diambil oleh KBS.

“Komitmen kami adalah untuk memperbaiki segala kelemahan dan kita akui ada kelemahan oleh itu ianya adalah tanggungjawab KBS untuk memastikan sukan terus maju dan apa-apa kelemahan kita perlu ambil langkah untuk perbaiki.

“Ini untuk memastikan Stadium Nasional Bukit Jalil berada dalam keadaan yang baik bukan sahaja untuk sukan bola sepak tetapi juga penganjuran konsert,” katanya.

Hannah juga mahu PSM mengambil langkah yang tepat bagi memastikan stadium terbesar negara itu berada pada tahap yang optimum pada setiap acara yang berlangsung sama ada sukan mahupun hiburan.

“Jika kita lihat sama ada perlawanan bola sepak mahupun konsert, ramai penyokong dan peminat yang hadir membeli tiket memenuhi stadium dan atas sebab itu tanggungjawab PSM adalah untuk pastikan apabila mereka membenarkan stadium itu disewa, mereka ada langkah-langkah yang diambil untuk memastikan stadium itu berada pada keadaan yang optimum dan ideal sama ada untuk konsert atau bola sepak,” tambahnya.

Stadium Nasional mendapat kurniaan penukaran padang jenis Zeon Zoysia dari Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim namum keadaanya tidak seperti yang diharapkan apabila kelihatan masih belum matang dan dalam keadaan yang teruk hingga menggangu kerancakan perlawanan akhir itu.