TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil memberi respon susulan isu padang baru Stadium Nasional Bukit Jalil yang hangat diperkatakan malam ini.

Kelihatan sudah kelihatan rosak sebaik pasukan Malaysia kendalian Kim Pan-gon beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023.

“Padang tu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim.

“Tetapi national team nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM dan pihak stadium.

“Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang kurangnya lagi dua atau tiga bulan. Kontraktor ni kontraktor yang sama buat padang JDT,” ciap hantaran TMJ di platform X.

Semalam, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) merasmikan padang baharu stadium berkenaan.

Padang baharu menggunakan rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.

Rumput Zeon Zoysia jenis lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas berbanding cow grass yang tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden.

Mengikut jadual Pestabola Merdeka, Stadium Nasional sekali lagi akan digunakan bagi aksi final yang akan berlangsung Selasa ini.