TAHUKAH anda pemain bola sepak adalah aset utama kepada sesuatu kelab bola sepak kerana tanpa pemain, sebuah kelab itu akan lumpuh dan tidak mampu bersaing tanpa mengira peringkat kejohanan baik dari akar umbi mahupun hingga ke peringkat professional.
Atas sebab itu pihak pengurusan stadium perlu cakna dengan kebajikan para pemain terutama yang akan beraksi di peringkat final Piala Malaysia dengan sentiasa memikirkan tentang keadaan mereka dan memastikan keadaan padang dalam keadaan yang terbaik.
Tular di semua platform media keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang masih kelihatan tidak siap untuk aksi final antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC pada Jumaat selepas gambar padang itu dimuatnaik oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Instagram peribadinya.
🏆 PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2023 🏆
🟥🟦 Johor Darul Ta’zim 🆚 Terengganu FC ⬛⬜
Stadium Nasional Bukit Jalil | Jumaat, 8 Disember 2023 | 9 malam#PialaMalaysia2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/bx5VpOix9G
— Malaysian Football League (@MFL_MY) December 4, 2023
Mengapa padang yang sesuai sangat dituntut dalam perlawanan bola sepak. Ini kerana padanglah tempat perlawanan berlangsung dan penonton membayar harga tiket untuk menyaksikan aksi yang mantap dan mendebarkan di padang.
Tidak guna jika mempunyai stadium yang gah dan bertaraf antarabangsa sekiranya padang yang dibekalkan boleh dianggap sebagai kampungan dan tidak menepati imej stadium itu sendiri sebagai ‘Home of Harimau Malaya’.
Tidak salah untuk melangsungkan konsert kerana pulangan yang diperolehi dari penganjuran konsert sangat tinggi namun aset utama stadium iaitu padang yang dikurniakan secara percuma perlu dilindungi dengan apa jua cara sekalipun.
Sikap berdiam diri yang diamalkan pihak pengurusan stadium juga seakan memperlihatkan sikap tidak bertanggung jawab mereka terhadap penyewa iaitu Malaysia Football League (MFL) dan tidak menjaga kebajikan dua pasukan yang bertanding.
Sebarang kecederaan yang mungkin melanda pemain bukan sahaja akan merugikan kelab tetapi dengan majoriti pemain yang beraksi di padang itu pada Jumaat adalah pemain kebangsaan, jangan menangis jika misi Harimau Malaya di Piala Asia terjejas kerana kualiti padang yang disediakan.
Mungkin akan ada magis dari pengurusan stadium untuk memastikan padang dalam keadaan baik tetapi apabila melihat jadual latihan rasmi kedua-dua pasukan yang dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu sudah memberikan gambaran bahawa padang masih tidak bersedia.