PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) berhubung mutu pengadilan ketika perlawanan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Vietnam, Selasa lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman memaklumkan tindakan tersebut dibuat selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM.

“Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram yang telah berbincang dan meneliti klip video beberapa insiden di sepanjang perlawanan tersebut.

“Susulan itu, surat rasmi yang menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan telah pun dihantar ke Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi (Khamis) bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu,” ujar FAM menerusi kenyataan rasmi pada Khamis.

Mutu pengadilan perlawanan membabitkan Vietnam menentang Malaysia di Stadium My Dinh, Hanoi 27 Disember lalu nyata menjadi perdebatan netizen selepas pengadil perlawanan, Ryuji Sato memberikan penalti kepada Vietnam ketika skuad itu menewaskan Malaysia, 3-0.

Kontroversi tercetus pada minit ke-59 apabila pengadil dari Jepun itu memberikan sepakan penalti kepada Vietnam selepas Azam Azmi Murad didakwa mengasari Doan Van Hau.

Keputusan pengadil itu cuba dibantah barisan pemain Harimau Malaya kerana tiada kekasaran yang dilihat dilakukan Azam ke atas Van Hau di dalam kotak penalti melainkan berlaku pergelutan dua pemain itu di luar padang selepas kedua-duanya terjatuh ketika merebut bola.

Insiden itu turut menyaksikan perlawanan terhenti kira-kira lima minit dan nasib lebih malang menimpa Harimau Malaya apabila Azam dilayangkan kad merah sebelum Que Ngoc Hai menyempurnakan sepakan penalti.

Malah, ada pihak yang menganggap keputusan Ryuji itu sebagai membunuh semangat pemain Harimau Malaya ketika anak buah Kim Pan Gon berusaha keras untuk memadam jaringan pertama Vietnam yang disumbangkan Nguyen Tien Linh pada minit ke-29.