HARAPAN penyokong Selangor FC untuk melihat permukaan padang yang lebih baik untuk aksi Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2024-25 tidak kesampaian apabila isu ‘timeline‘ menjadi faktor rumput jenis ‘cow grass’ dikekalkan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon yang menjelaskan penukaran rumput tidak dilakukan akibat kesuntukan masa biarpun terdapat tawaran geran berjumlah RM500,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan RM300,000 oleh Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Stadium MBPJ di bawah seliaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya kini sedang dinaiktaraf bagi memastikan ianya mematuhi piawaian yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan Selangor FC memberikan input bagi memastikan keselesaan penyokong.

“Buat masa ni kita memang ambil serius, berfikir dengan panjang, ‘deliberate’ dengan banyak cadangan dan juga tawaran daripada pihak KBS dan TMJ ke atas penukaran rumput.

“Tetapi buat masa ini kita akan fokus lebih kepada saliran kerana itu amat penting buat masa ini kerana isu ‘timeline’ sebab kalau nak tukar rumput ia ambil masa 6 hingga 8 bulan seperti kita lihat di Bukit Jalil apabila padang tu tak bersedia mengakibatkan banyak lagi masalah lain.

“Jadi, di MBPJ pula apabila musim dah bermula tiada masa kerana setiap minggu ada perlawanan, jadi memandangkan sekarang sudah bulan Januari, masa untuk menyiapkan padang kalau tukar rumput saya rasa tak sempat.

“Sekarang pun musim hujan, jentera tak boleh masuk, jadi memang tidak boleh jalankan kerja-kerja penukaran rumput itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Selangor FC pada Isnin.

Bagaimanapun Johan memaklumkan pihaknya akan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja untuk memperbaiki dan menaik taraf saliran bagi padang di stadium tersebut bagi memastikan air akan turun dengan cepat apabila berlakunya hujan sekaligus tidak menjadi lecak.

Permukaan yang tidak lecak akan memastikan kurangnya risiko kecederaan akan menimpa para pemain serta dapat menyajikan perlawanan dan permainan pada kualiti tertinggi kepada para penonton.

Selangor FC juga hampir pasti menjadi kelab tunggal yang menggunakan Stadium MBPJ musim ini selepas PDRM FC dikhabarkan akan berpindah ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang.