AKSI Liga Juara-Juara AFC antara wakil Iran, Sepahan dan kelab Arab Saudi, Al Ittihad di Esfahan terpaksa dibatalkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas kelab Saudi itu enggan meninggalkan bilik persalinan apabila tuan rumah meletakkan tugu Qasem Sulaimani, jeneral perang Iran yang dibunuh di laluan masuk ke padang.
Perlawanan itu terpaksa ditunda pada mulanya oleh pegawai perlawanan di Stadium Naghsh-e Jahan, Esfahan di mana 60,000 penyokong memenuhi stadium untuk menyaksikan aksi bekas pemain Liga Perdana Inggeris termasuk N’golo Kante dan Fabinho.
AFC menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan berkata perlawanan itu terpaksa dibatalkan atas sebab luar jangka dan keadaan yang tidak dapat dielakkan.
“Kami di AFC sentiasa memastikan komitmen terhadap memastikan keselamatan kepada pemain, pegawai perlawanan, penyokong dan semua pemegang taruh yang terlibat.
“Perkara ini sekarang akan diserahkan kepada komiti-komiti yang relevan,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan AFC sejurus keputusan pembatalan dibuat.
Qasem Soleimani, jeneral yang terkenal dalam Kor Revolusi Islamik Iran, telah dibunuh berhampiran Lapangan Terbang Baghdad oleh dron milik Amerika Syarikat pada Januari 2020 dan dia dianggap mati syahid oleh pemerintah negara Parsi itu.
Gambar-gambar dari stadium yang dimuat naik di media sosial menunjukkan tugu Soleimani telah diletakkan di laluan masuk ke padang dan boleh dilihat dengan jelas oleh para pemain ketika mereka keluar dari terowong pemain.
Hubungan antara Iran dan Arab Saudi sudah lama tegang dan Liga Juara-Juara AFC musim ini adalah yang pertama sejak 2016 yang menyaksikan kedua-dua negara dibenarkan beraksi menentang satu sama lain di tempat sendiri dan tempat lawan.
Perlawanan antara kedua-dua pasukan dari negara ini sebelum ini dilangsungkan di venue neutral atas alasan keselamatan.
Cristiano Ronaldo dan pasukannya Al Nassr bertemu Persepolis di Stadium Azadi, Tehran dua minggu namun perlawanan itu berjalan lancar kerana ianya dilangsungkan di dalam stadium yang kosong ekoran hukuman satu perlawanan tanpa penyokong yang dikenakan kelab Iran itu oleh AFC.