LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tampil menjelaskan mengenai dakwaan bekas jurulatih Sarawak United FC (SUFC),  B.Sathianathan (gambar) mengenai beberapa isu tunggakan bayaran gajinya.

MFL menjelaskan berlaku dua kes yang berbeza di antara pemain serta pegawai pasukan dan bekas jurulatih Sarawak United FC itu.

“Secara kronologi asas, MFL telah menerima pengesahan pembayaran penuh gaji pemain sehingga Ogos 2022 bukan sahaja daripada pihak Sarawak United FC sahaja tetapi MFL mendapat pengesahan bayaran sehingga Ogos daripada PFAM sendiri.

“Manakala bayaran tunggakan pegawai SUFC yang diterima sehingga Julai dan surat persetujuan bersama SUFC dan pegawai berkaitan penerimaan gaji bulan Ogos sebelum 30 October 2022 telahpun disahkan melalui dokumentasi yang diterima dan juga pengesahan wakil Pegawai SUFC yang berhubung dengan MFL.

“Sementara membabitkan tuntutan Sathianathan, memandangkan beliau telah meletakkan jawatan pada Jun 2022 namun beberapa tuntutan beliau selepas peletakan jawatannya masih dalam perbincangan dengan majikannya SUFC.

KENYATAAN MEDIA – B. SATIANATHAN (BEKAS JURULATIH SARAWAK UNITED)

“Perkara ini malah telah mengambil satu langkah lagi dengan ia sekarang di peringkat pertikaian undang-undang yang memerlukan keputusan muktamad dibuat mengenai perkara terpencil ini. Perkara ini mesti diselesaikan antara kedua-dua pihak dan jikalau masih tidak berjaya, ianya perlu dibawa ke Jawatankuasa Status FAM untuk keputusan dibuat.

“Memandangkan MFL tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan perkara pertikaian tersebut dan bukan platform yang sesuai untuk menyelesaikan pertikaian ini, hanya selepas Jawatankuasa Status FAM membuat keputusan di sini, barulah MFL boleh mengambil tindakan yang perlukan untuk membantu Sathianathan,” jelas MFL dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, dalam satu kenyataan media, Sathia telah menggesa pihak MFL untuk membuat satu siasatan lanjut terperinci kepada SUFC kerana gagal untuk memberikan fakta-fakta sebenar berkaitan dengan keberhutangan SUFC kepada MFL kerana tidak pernah menandatangani mana-mana surat persetujuan untuk menerima pembayaran secara ansuran dan sehingga kini tuntutan masih belum dijelaskan secara penuh oleh SUFC.