KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengenepikan masalah dalaman yang melanda pasukan itu dengan mempamerkan aksi cemerlang membenam satu lagi pasukan bermasalah, Negeri Sembilan FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Dua gol pantas pada 16 minit pertama dan satu gol pada awal babak kedua memastikan anak-anak buah Nafuzi Zain memungut tiga mata sekaligus menekan Selangor FC untuk kedudukan kedua dalam liga dan merebut tiket ke Asia.
Pada sebelah pagi, pemilik Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Daud Bakar tampil pada sidang media menyatakan masalah kewangan yang melanda kelab itu dan segalanya akan selesai dalam tempoh terdekat yang dilihat memberi jaminan pada pemain dengan terus memberikan aksi yang mantap.
Manuel Ott memulakan pesta gol Sang Kenari dengan gol cantik dari luar petak penalti pada minit ke-14 sebelum Amirbek Juraboev menambah duka Negeri Sembilan berselang dua minit untuk menggembirakan penyokong tuan rumah.
Negeri Sembilan seakan-akan hilang punca dan tidak dapat melancarkan serangan berbahaya dengan Kedah dilihat selesa mengawal sepenuhnya perlawanan untuk mengakhiri separuh masa pertama dengan kelebihan dua jaringan.
Bersambung babak kedua, Kedah tidak menurunkan tempo permainan sebaliknya terus mengasak dan Ifedayo Olusegun menambah gol ketiga untuk mematahkan semangat Negeri Sembilan.
Tidak banyak perubahan berlaku dengan Kedah cuba mencari gol tambahan namun tidak berjaya dan berpuas hati dengan tiga gol untuk kemenangan ke-16 musim ini dan memberikan kemenangan ke-10 buat Negeri Sembilan FC.
Tiga mata itu memberikan Kedah mata ke-50 dari 23 perlawanan untuk kekal di tangga ketiga manakala Negeri Sembilan masih kekal di tangga kesembilan dengan hanya 21 mata.