PENYERANG Terengganu FC, Ivan Mamut gembira di Terengganu sejak hari pertama dan berpuas hati dapat menjaringkan hatrik yang membantu Terengganu menewaskan Kuala Lumpur Rovers dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Ivan memberitahu, persefahaman yang baik dengan rakan-rakan sepasukannya dan akan terus berusaha bagi memastikan Terengganu berjaya meraih lebih banyak kemenangan.
“Saya gembira dengan persembahan saya dan juga pasukan selepas tiga perlawanan sebelum ini berakhir dengan keputusan seri. Kemenangan ini sangat penting buat Terengganu dan kami perlu kekalkannya seperti ini.
“Sebagai penyerang sudah tentu saya sentiasa mahu jaringkan gol dalam setiap perlawanan dan hari ini saya dapat jaringkan hatrik. Tetapi sebagai satu pasukan, mungkin dalam perlawanan lain pemain lain akan jaringkan gol kerana ini adalah bola sepak.
“Sefahaman saya dengan Sony Norde dan pemain tengah lain sangat baik, kami mempunyai bilik persalinan yang harmoni dan dapat dilihat dalam perlawanan ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Penyerang tinggi lampai kelahiran Croatia itu juga gembira di Terengganu dan sokongan yang diterima daripada penyokong dan penduduk tempatan disifatkan sebagai luar biasa.
“Saya gembira di Terengganu sejak hari pertama. Penduduk di sana sangat menakjubkan dan sering memberikan sokongan meskipun ada kalanya kami beraksi tidak begitu baik,” jelasnya.
Ivan meledak hatrik pertamanya dalam saingan Piala Malaysia dan menambah koleksi jaringannya bersama Terengganu kepada 11 gol dalam semua pertandingan musim ini.