AYAM tambatan Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut, menyifatkan keserasian bersama rakan gandingan baharu, Ismaheel Akinade, semakin positif menjelang musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Malah pemain berusia 27 tahun itu tidak menganggap kehadiran Akinade sebagai ‘pengacau’ bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama sebaliknya persaingan sihat dalam pasukan.

Menurut Mamut, penyerang berasal Nigeria itu memiliki kualiti tersendiri sekali gus membantu mereka saling melengkapi untuk mengetuai jentera serangan skuad Penyu musim ini.

“Sejak mula menjalani latihan bersama, rakan-sepasukan lain juga dapat melihat kelebihan dimiliki beliau (Akinade) dan seperti saya, dia juga ada pengalaman dalam Liga M, tahun lalu.

Kemasukan Akinade dalam pasukan itu bakal memberi variasi kepada pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner.

“Jadi kami dapat mencari persefahaman dengan rentak permainan TFC dan dengan tempoh kira-kira lebih sebulan lagi sebelum bermula liga, saya optimis keserasian kami akan bertambah baik.

“Apa yang penting, kami masing-masing mahu membantu pasukan ini meraih pencapaian lebih baik berbanding musim lalu dan ini adalah persaingan yang sihat,” ujarnya.

Penyerang kelahiran Croatia itu muncul watak utama Sang Penyu musim lalu setelah mencetak 22 gol dalam semua pertandingan meskipun dilihat bergelut ketika awal saingan Liga-M.

Ivan lebih optimis dengan pasukan Terengganu FC musim ini.

Kemasukan Akinade dalam pasukan itu bakal memberi variasi kepada pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner, untuk merencana strategi paling ampuh di samping Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Menurut Steinbruckner, Akinade diyakini mampu memberikan impak positif kepada skuad kendaliannya meskipun tidak dianggap pemain bintang dalam kancah liga tempatan.

“(Akinade) memiliki fizikal dan teknik yang baik sebagai penyerang selain berkebolehan beraksi di bahagian sayap, jadi dia merupakan aset kepada kami,” katanya kepada Flash Sukan.