PASANGAN beregu skuasy negara, Ivan Yuen dan Rachel Arnold berjaya mara ke peringkat akhir Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia 2023, selepas bangkit melawan semula apabila ketinggalan di set pertama.
Dalam pertembungan sengit, Yuen dan Rachel di set pertama ketinggalan 10-11 dengan musuh seteru dari India, Abhay Singh-Anahat Singh sebelum bangkit di set kedua menewaskan mereka, 11-4 dan seterusnya menang di set penentuan, 11-6 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik, Ghuangzhou pada Khamis.
Usaha Yuen-Rachel akhirnya membuahkan hasil apabila selangkah lagi menuju ke peringkat akhir dan bakal bertemu dengan pasangan yang juga dari India, Harinder Pal Singh-Dipika Pallikal pada Jumaat.
Bercakap kepada media, kejayaan ke peringkat separuh akhir merupakan sokongan strategi daripada jurulatih mereka sendiri dan memastikan akan membawa momentum kemenangan dalam pentas akhir nanti.
“Saya rasa perlawanan pada hari ini berjalan mengikut seperti apa yang dirancang dan kami dah aturkan apa yang perlu dilakukan dalam set pertama dan kedua.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan semestinya kami berharap kami akan beraksi dengan lebih cemerlang dalam peringkat akhir pada esok (Jumaat) untuk disaksikan oleh penyokong,” kata Ivan kepada media.
Beregu India yang mara ke peringkat akhir, Harinder-Dipika menewaskan beregu dari Malaysia, Syafiq Kamal-Aifa Azman 11-9, 11-6. Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia 2023 berlangsung dari 26 Jun hingga 30 Jun