PENJAGA gol Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan gembira apabila dia berjaya membuktikan ketangkasan dirinya di gawang selepas membantu skuad Tok Gajah daripada tewas lebih besar kepada Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras itu, Izham berjaya menafikan beberapa peluang keemasan skuad The City Boys pada babak pertama walaupun terpaksa akur tewas menerusi penalti Romel Morales.

“Untuk perlawanan ini kita tidak bernasib baik kerana keputusan berpihak pada KL. Mungkin apa yang kami bersedia sebelum ini masih belum cukup tetapi kami akan jadikannya sebagai pengalaman dan akan berikan aksi terbaik apabila beraksi di Kuantan nanti.

“Apa yang saya lakukan ini adalah usaha bersama sebagai satu pasukan. Saya gembira dengan persembahan saya kerana setiap penjaga gol hanya perlukan masa untuk tunjukkan prestasi mereka dan apabila berpeluang dan ruang untuk bermain saya akan berikan 100 peratus,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Penjaga gol yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim itu turut bersetuju dengan kenyataan jurulatihnya Fandi Ahmad yang mahu menggunakan taktikal menyerang ketika aksi kedua dan dia tidak menganggap ketinggalan satu gol itu sebagai tekanan.

“Kita akan menyerang kerana mahu mendapatkan kemenangan dan kita kena buat yang terbaik di hadapan penyokong sendiri. Ketinggalan satu gol ini bukanlah tekanan tetapi motivasi buat kami untuk lakukan yang lebih baik,” tambahnya.

Aksi cemerlang Izham turut mendapat pujian daripada pengendali KL City, Nenad Bacina yang tahu akan kualiti yang ada pada pemain kelahiran Terengganu itu.