PEMAIN skuasy remaja, Izz Nabil Iman dinobatkan sebagai juara CIMB National Junior Circuit 2nd Leg bagi acara lelaki bawah 19 tahun.

Dia yang mewakili Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berjaya mencipta kejayaan itu selepas menumpaskan saingan terdekatnya, Erwin Kros Christopher yang mewakili Selangor dengan keputusan 12-10, 11-9, 11-4.

Kedua-dua pemain itu telah berjumpa sesama mereka sebanyak tujuh kali, dengan pertemuan terakhir ialah ketika Kejohanan Skuasy Remaja Asia Tenggara di Bangkok pada Mei lalu. Erwin memenangi dalam pertemuan itu.

Nabil menyatakan bahawa dirinya cuba main sehabis baik untuk mengalahkan Erwin di atas gelanggang.

“Saya main sehabis baik kerana masa latihan saya kalah dengan dia jadi saya kena push diri saya untuk mengalahkan dia.

“Masa di Bangkok saya main dengan dia untuk perlawanan akhir tetapi saya kalah 3-1 manakala waktu 1st leg saya mendapat naib johan sebab kalah kepada pemain Penang (Ivan Chang).

Nabil (tiga dari kiri) manakala Erwin (hujung kanan) bersama pemain B-19 yang lain

“Saya harap saya boleh main dengan lebih baik untuk 3rd leg nanti dan kekalkan kejuaraan ini,” katanya selepas perlawanan.

Erwin pula berkata Nabil layak untuk menang kerana permainannya yang cukup baik ditunjukkan.

Dia menambah bahawa pemain lawannya telah bertambah baik sejak kali terakhir berjumpa secara kompetitif.

Keputusan Penuh (Akhir)

Lelaki B-19: Izz Nabil Iman (SSBJ) mn Erwin Kros Christopher (Sel) 12-10, 11-9, 11-4

Perempuan B-19: Najwa Zara (SSBJ) mn Dayana Qistina Anuar (Ked) 11-4, 6-11, 11-8, 11-9