KHABAR gembira telah diterima daripada pasukan CKJ Racing Team apabila pelumba Izzat Zaidi Salehan telah sedar dan tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepenuhnya sejak lima hari lalu.

Pelumba yang sebelum ini terpalit dengan satu insiden ketika sesi Superpole di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix Pusingan ke-8 pada 7 Oktober lepas telah disahkan mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan kecederaan paru-paru.

Rawatan sepenuhnya pula telah dilaksanakan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Izzat yang sebelumnya dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) telah dipindahkan ke wad biasa pada Rabu.

“Dengan keadaan pelumba yang tampak semakin pulih, pihak CKJ Racing juga telah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan khas kepada Izzat termasuklah daripada Safe Aim Mutual Sdn Bhd, PETRONAS Wilayah selatan dan juga warga Cub Prix,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebook Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN : “Tahap oksigen Izzat Zaidi kini kembali ke paras normal” – CKJ Racing Team

Selain itu, mereka turut mengucapkan penghargaan buat Hospital Sultanah Aminah susulan rawatan yang terbaik telah diberikan oleh pihaknya sehingga keadaan pelumba berada pada tahap yang semakin baik.

Semasa kejadian yang menimpa pelumba ini, pihak CKJ mengesahkan faktor insiden berpunca daripada jentera Yamaha yang dipacu oleh pelumba tersebut telah melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan yang terletak di tepi litar.