BEREGU lelaki nombor tiga negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei, memutuskan untuk berpisah.
Keputusan dua pemain itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky petang semalam.
Menurut Rexy, kedua-dua pemain mahukan yang terbaik buat diri masing-masing, selepas gandingan mereka semakin tidak menjadi.
“Izzuddin dan Fei buat keputusan tidak mahu bergandingan lagi,” ujar Rexy ringkas, mengenai hasil pertemuan dengan dua pemain itu.
Bagaimanapun, hasrat dua pemain itu tidak membubarkan gandingan mereka secara rasmi, kerana keputusan akhir perlu dibuat barisan kejurulatihan terlebih dahulu.
“Tapi belum ada keputusan sama ada mereka dipisahkan atau kekal kerana saya perlu menunggu semua jurulatih lain kembali di Indonesia Masters
“Kami antara jurulatih akan berbincang mengenainya sebelum membuat keputusan besar ini,” kata Rexy lagi.
Pada tahun lalu, Nur Izzuddin-Sze Fei yang kini berada di ranking ke-11 dunia, muncul juara Super300 Terbuka Jerman, namun sejak itu mereka gagal mempamerkan aksi konsisten.
Mereka tersingkir di pusingan pertama Seluruh England, Terbuka Indonesia, Malaysia Masters, Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark.
Manakala tersingkir di pusingan kedua Terbuka Singapura, Kejohanan Dunia serta Terbuka Perancis, sementara melangkah ke suku akhir Terbuka Thailand, Indonesia Masters.
Pada tahun ini pula, gandingan nombor dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ini tewas di pusingan pertama Super1000 Terbuka Malaysia dan Super750 Terbuka India, sebelum mereka menarik diri di Indonesia Masters yang sedang berlangsung.