DUA siri kecederaan membantut kemajuan karier Jacky Kok dalam badminton sepanjang 2023, namun dia lega kerana masih kekal berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Kecederaan buku lali dan lutut membelenggu pemain berusia 21 tahun itu menyaksikannya lebih banyak menghabiskan masa untuk melakukan rehabilitasi berbanding menyertai kejohanan.
“Saya gembira dikekalkan di sini dalam masa sama, saya harap tidak ada lagi kecederaan pada tahun hadapan (2024).
“Apa yang berlaku tahun ini, biarlah kerana ia sudah berlaku walaupun saya terpaksa habiskan banbyak masa untuk rehab dan buat follow up, lutut ini ambil masa lebih sebulan untuk pulih manakala buku lali pula lebih dua bulan pun belum dapat pulih sepenuhnya,” kata Jacky, ditemui di ABM.
Menurutnya, kecederaan buku lali dialaminya ketika menjalani latihan Mei lalu, manakala kecederaan lutut kiri pula dialami ketika Mesters Indonesia II, Oktober lalu, sehingga dia terpaksa menarik diri pada pusingan pertama, ketika menentang pemain tuan rumah, Alwi Farhan pada kedudukan 22-24, 21-15, 11-17.
Buat masa ini, kami (pemain) semua belum tahu apa kejohanan yang akan disertai awal tahun depan kerana barisan kejurulatihan belum memberitahu perkembangan mengenainya, tetapi kejohanan paling awal bagi ranking rendah adalah Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada Februari.
“Jadi sekarang, saya hanya fokus kepada latihan dan rehab,” kata Jacky yang menyasarkan untuk memasuki ranking Top 100 tahun hadapan.
Ketika ini, berada di ranking 203 dunia.