PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Haji Mohd Amin menganggap kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu menjadi pemangkin kepada moral pemain negara untuk melakar kejayaaan lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

JDT mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Skuad Harimau Selatan mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selaku juara Kumpulan I dengan mengumpul 13 mata.

“Tahniah JDT! Kejayaan ini bukan sahaja mampu menaikkan moral pemain negara untuk mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat tertinggi tetapi diharap menjadi contoh terbaik kepada bola sepak negara.

“Terbukti dengan kerja keras serta perancangan yang baik seperti diusahakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, semuanya membuahkan hasil yang amat membanggakan.

“Kejayaan ini secara tidak langsung akan meningkatkan tahap permainan, kualiti dan mutu bola sepak negara seiring untuk bersaing dengan kelab dari kuasa besar bola sepak Asia,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Hamidin, kejayaan manis ini juga mampu menaikkan lagi semangat pemain JDT untuk melakar kejayaan di pusingan seterusnya.

“Sememangnya ia kemenangan penuh dramatik tetapi cukup bergaya, membuktikan pemain-pemain cukup berdaya saing,” katanya.

Kejayaan semalam adalah kemenangan kedua JDT ke atas Ulsan Hyundai dalam saingan ACL kali ini selepas turut menang dengan jaringan sama pada pusingan pertama sebelum ini.