MALAYSIA Football League (MFL) akan meneruskan perancangan asal untuk melaksanakan saingan Liga Malaysia (Liga M) mengikut format kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mulai tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam bagaimanapun menegaskan ia akan mengambil masa sehingga dua musim untuk memastikan keseluruhan format saingan Liga Super akan selari mengikut format konfederasi Asia itu.

“Jadual liga akan ikut AFC. Kami dah adakan perbincangan dengan setiap pasukan dan rakan kongsi. Liga akan mula April tahun depan dan kita kena pastikan jendela perpindahan selari dengan liga luar kerana mahu memastikan kita boleh mengambil pemain import yang berkualiti dan bukannya yang berstatus ejen bebas.

“Jadi bila kita pindah liga, ia akan selari dengan liga lain. Tapi benda ini ambil masa dua musim. Semua kelab perlu faham ini adalah inisiatif AFC, kami hanya terima dan sambung kerana kalau kita tidak berubah, ia akan beri impak kepada liga.

“Akan ada ‘guideline‘ diberikan kepada pasukan untuk lanjutan kontrak kerana perubahan ini dan kita akan gunakan pengalaman ketika pandemik Covid-19 dahulu di mana banyak pertandingan terpaksa dibatalkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey di Petaling Jaya.

Stuart juga turut memaklumkan bahawa pihak MFL kini dalam proses untuk memeriksa semua dokumen yang diberikan oleh kesemua pasukan Liga Super sebagai syarat perlesenan kelab untuk saingan musim depan.

“Kami dah tutup tarikh penghantaran dokumen lesen kebangsaan pada penghujung September lalu. Kami dalam fasa memeriksa semua dokumen yang dah diberikan semua pasukan liga super. 18 atau 19 Oktober kami akan buat sidang media untuk umumkan keputusan lesen kebangsaan.

“Kami harap semua kelab liga M memahami kriteria perlesenan tahun ini. Semua pasukan dah hantar dokumen, sekarang proses nak meneliti dokumen dan harap tahun ini tiada isu gaji atau kami akan ambil tindakan seperti sebelum ini,” tambahnya.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengubah kalendar pertandingan dari Ogos ke Mei bermula musim 2023/24 bagi memudahkan penyusunan jadual selari dengan kalendar antarabangsa Fifa.