MALAYSIAN Football League (MFL) mengesahkan jadual Liga Malaysia 2024-25 akan diumumkan pada hujung minggu ini selepas perbincangan akhir bersama hos penyiar dimuktamadkan.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam yang juga turut menyatakan bahawa kesemua perlawanan akan menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang digerakkan secara ‘mobile’ di kesemua venue yang terlibat.
Pertandingan Liga Super 2024-25 sah hanya akan ditandingi 13 pasukan dengan satu pasukan akan mempunyai rehat tambahan pada setiap hari perlawanan liga.
“Jadual pertandingan akan dikeluarkan pada penghujung minggu ini dan kita sedang berbincang dengan hos penyiar rasmi berkaitan waktu sepak mula dengan empat waktu sepak mula dikekalkan seperti musim 2023.
“Pihak MFL mengekalkan waktu sepak mula selepas mengambil kira beberapa faktor seperti cuaca panas bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pemain terjaga selain pergerakan kenderaan ‘VAR Mobile’ yang akan digunakan musim ini.
“Ianya sedikit rumit kerana kita mempunyai empat unit ‘VAR Mobile’ tetapi ada enam perlawanan berlangsung pada satu-satu minggu dan kami perlu lihat dari sudut logisitik bagi memastikan kenderaan ini boleh sampai tepat pada waktunya di venue yang terlibat,” katanya ketika ditemui media selepas Kongres FAM ke-60 pada Isnin.
Selain itu, Stuart juga berkata pihak MFL juga akan mengumumkan tarikh, venue dan pasukan yang bersaing merebut Piala Sumbangsih 2024 pada hari yang sama dengan pengenalan kalendar Liga Malaysia musim 2024-25.
Piala Sumbangsih adalah perlawanan pembukaan liga dengan secara tradisi menemukan juara Liga Super dan juara Piala Malaysia tetapi musim lalu menyaksikan kesemua piala dimenangi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadikan status pasukan lawan perlu dipilih berdasarkan kriteria lain yang ditetapkan MFL.
Liga Malaysia 2024-25 akan bermula dengan aksi Liga Super pada 10 Mei 2024 yang akan berlangsung selama 11 bulan sebelum berakhir pada 20 April 2025 manakala Piala FA akan bermula pada 14 Mei 2024 dengan aksi final pada 24 Ogos 2024 dan Piala Malaysia pula bermula dari Oktober 2024 hingga April 2025.