BAHANG Olimpik Paris 2024 mula dirasai apabila barisan atlet yang dijangka beraksi di pentas tertinggi temasya sukan dunia itu, mula melakukan persiapan untuk memburu slot ke temasya terbabit.

Antara yang bakal sibuk bermula Januari tahun hadapan adalah, Datuk Azizulhasni Awang.

Beliau akan mengharungi jadual padat, menyertai kejohanan yang ditetapkan dalam misi mengutip mata kelayakan ke Paris 2024.

Amarjit Singh teruja dengan perkembangan Azizulhasni  yang meraih kejuaraan selepas tujuh bulan jalani pembedahan jantung.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, berdasarkan perancangan awal, pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo itu akan mendepani tempoh enam bulan yang ‘sengsara’, menyertai tiga kejohanan Nations Cup yang dijadualkan di Jakarta (Februari), Mesir (Mac) dan Kanada (April), iaitu tiga kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Olimpik.

“Selepas itu, pada Jun kita akan menganjurkan kejohanan Trek Asia di Nilai (Negeri Sembilan) dari 14 hingga 19 Jun. Itu juga penting kerana menawarkan mata ke Olimpik. Jadi untuk tempoh enam bulan pertama ini akan menjadi sibuk,” kata Amarjit.

“Awal Ogos pula, Kejohanan Dunia di Glasgow, ini juga sangat penting. Jadi beliau (Azizulhasni) akan mempunyai jadual yang padat dan saya pasti, beliau sedang mempersiapkan fizikal dan mentalnya untuk menghadapi situasi ini.”

Dalam pada itu, Amarjit menyuarakan perasaan gembira melihat perkembangan kesihatan Azizulhasni yang meraih pingat emas dan perak masing-masing dalam acara pecut dan keirin pada edisi ke-125 Austral Wheelrace di Melbourne, Australia, Sabtu lalu.

Katanya, bukan mudah untuk seseorang atlet yang baru menjalani pembedahan jantung kira-kira lapan bulan lalu untuk pulih dan meraih kejuaraan.

Azizulhasni ketika dirawat di Hospital Epworth Richmound, Melbourne pada 21 April 2022, kerana masalah jantung ‘anomalous aortic origin of right coronary artery’ (AOORCA).

“Beliau seorang yang kental dan menunjukkan dirinya berada di laluan pemulihan yang sebenar. Proses pemulihannya cukup baik.

“John Beasley (ketua jurulatih skuad basikal trek) ada berbincang dengan saya dan dia gembira dengan prestasi ditunjukkan Azizulhasni,” kata Amarjit.