PENGANJUR Paris Masters menerima kritikan hebat berhubung penjadualan mereka ke atas Jannik Sinner yang diberi rehat hanya selama 14 jam sebelum bertanding semula sekali  gus mengakibatkan penarikan diri pemain itu dari pertandingan.

Warga Itali yang merupakan salah satu pemain terbaik dunia sebelum itu dijadualkan melawan Mackenzie McDonald pada peringkat kedua sehingga 2.30 pagi pada Khamis dan dijadualkan menentang Alex De Minaur pula pada jam 5 petang.

Casper Ruud yang berada di kedudukan kelapan menyifatkan penjadualan tersebut sebagai satu ‘jenaka’ dan menulis melalui akaunnya di platform X: “Bravo @atptour cara membantu salah seorang pemain terbaik di dunia pulih dan bersedia sebaik mungkin apabila beliau menamatkan perlawanannya sekitar jam 2:37 pagi pagi ini, dengan hanya 14.5 jam untuk pulih..gurauan apakah ini”.

Kira-kira 90 minit sebelum perlawanan bermula, Sinner yang merupakan juara dua gelaran dalam tiga kejohanan terakhirnya, termasuk di Vienna pada Ahad lalu, mengesahkan telah menarik diri dengan alasan keletihan.

Sinner di platform X menulis “Saya meminta maaf kerana mengumumkan bahawa saya menarik diri dari perlawanan hari ini di Bercy. Saya menamatkan perlawanan hampir jam 3 pagi dan tidak tidur hingga beberapa jam selepas itu. Saya hanya mempunyai kurang dari 12 jam untuk berehat dan bersedia untuk perlawanan seterusnya. Saya perlu membuat keputusan yang betul untuk kesihatan dan tubuh saya”.

Difahamkan, pemain Itali itu bakal menumpukan sepenuhnya perhatian sebagai persiapan untuk ATP Finals dan Piala Davis.

Image

Dalam perkembangan lain, De Minaur mara ke suku akhir dan beliau bakal menentang Andrey Rublev, yang mengalahkan Botic Van De Zandschulp 6-3 6-3.