PERENANG remaja sensasi Kanada, Summer McIntosh berpeluang meraih lebih banyak pingat pada Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tetapi terpaksa melupakan beberapa acara individu ekoran jadual pertandingan yang padat.

McIntosh, 17 tahun melengkapkan renangan bergaya dengan memenangi acara 400m rampaian wanita menewaskan perenang Amerika Syarikat, Katie Grimes dan Emma Weyant untuk pingat emas pertama di Paris dan kedua keseluruhan setakat ini.

Dia dijangka akan memenangi dua lagi pingat acara individu dan satu pingat acara berpasukan untuk menjadi atlet muda terbaik Kanada yang melakukan debut memberangsangkan ketika berusia 14 tahun semasa Temasya Tokyo 2020.

McIntosh selepas memenangi acara 400m rampaian individu wanita

Di Paris, McIntosh terpaksa melupakan acara 800m gaya bebas kerana memberikan lebih tumpuan kepada acara 200m rampaian individu yang dijadualkan berselang hanya 10 minit antara kedua-dua acara.

Perkara yang sama terjadi untuk acara 200m gaya bebas apabila perenang kelahiran Toronto itu lebih menumpukan perhatian kepada acara 400m rampaian individu akibat kekangan masa dan pemulihan yang perlu dilakukan.

“Saya sangat gembira kerana berjaya menyelesaikan renangan dan menduduki tangga teratas podium untuk memenangi pingat emas. Ianya sentiasa tentang beraksi dengan gembira dan menguji tubuh saya hingga ke tahap terbaik. Saya juga mahu membanggakan Kanada dan menjadi contoh terbaik buat negara,” katanya.

Summer McIntosh meraikan kejayaan memenangi pingat emas pertamanya di Olimpik

McIntosh akan bertanding dalam dua lagi acara individu termasuk 200m gaya kupu-kupu dan 200m rampaian serta beberapa lagi acara berganti-ganti namun dia kekal fokus kepada setiap acara yang disertainya.

“Saya cuba mengambil pendekatan satu acara ke satu acara. Dapat naik ke podium akan jadi sesuatu yang hebat tetapi saya tidak mahu terbuai dan akan lakukan yang terbaik buat negara dan rakan-rakan sepasukan,” jelasnya.