WALAUPUN berdepan jadual padat di bumi Doha sempena pusingan akhir Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya tetap meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan rakyat Malaysia di Qatar.

Sesi Meet and Greet Harimau Malaya yang diaturkan peminat di Kedutaan Besar Malaysia di Doha berjaya menarik lebih 300 penyokong hadir pada Rabu malam.

Duta Besar Malaysia ke Qatar, TYT Zamshari Shaharan berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana dapat menyediakan ruang waktu buat peminat sejati yang telah lama menyusun program ini sebaik mengetahui skuad kebangsaan layak ke Piala Asia.

“Pertama sekali bagi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Doha memang kami berbesar hati apabila pasukan Harimau Malaya dapat singgah sebentar di kedutaan sendiri.

“Walaupun jadual latihan mereka yang agak ketat dan sibuk, saya berterima kasih kepada pihak pengurusan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan pasukan serta jurulatih yang telah memberi keizinan untuk kita melaksanakan acara pada malam ini.

“Kita dapat lihat sebenarnya ini adalah sebahagian kecil sahaja rakyat Malaysia yang berada di Qatar, sebenarnya bilangan mereka lebih besar.

“Insya Allah mereka akan keluar beramai ramai untuk menyokong pasukan Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada majlis Meet and Greet pasukan Harimau Malaya di Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zamshari berkata, penyokong Malaysia cukup lama menantikan skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 selepas layak secara merit pada tahun 1980 di Kuwait.

“Kali ini harapan kita memanglah tinggi menggunung. Insya Allah kami yakin melihat mereka berlatih bermain di bawah pimpinan jurulatih dan pengurusan FAM.

“Kita merasakan pasukan ini layak untuk pergi lebih jauh. Kita ingin menyeru lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk turut serta bersama-sama dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat Kumpulan E.

“Bagi pihak kedutaan kita sentiasa menyokong seperti mana anda dapat lihat pada malam ini, ramai rakyat Malaysia yang datang adalah sebahagian sahaja.

“Saya jangkakan lebih ramai lagi penyokong kita hadir dari Arab Saudi, Oman dan rantau ini,” katanya lagi.

Beliau memuji disiplin dan sikap rakyat Malaysia yang hadir dari pelbagai latar belakang serta selalu mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang keberadaan di bumi Qatar.

“Saya ucapkan terima kasih buat mereka dan sentiasa menghormati peraturan undang-undang tempatan. Insya Allah di mata rakyat Qatar, orang Malaysia ini antara terbaik dan tiada masalah kalau kita dengar dari mulut mereka.

“Biasanya memang cerita yang baik-baik sahaja, tiada sebarang isu,” ujarnya.

Untuk informasi, bilangan rakyat Malaysia di Qatar yang berdaftar di pihak kedutaan dianggarkan sekitar 5,300 orang.