PENYERANG Sabah FC, Jafri Firdaus Chew bersedia untuk terus menjadi peledak gol terutama bagi membantu pasukannya meraih kemenangan ketika aksi pusingan 16 Piala FA berdepan KL Rovers FC, 15 Jun ini.

Aksi Jafri kini kembali menjadi perhatian terutamanya selepas berjaya membantu pasukan meraih kemenangan ke atas Kuching City FC menerusi jaringan pada minit-84 dalam aksi ketiga Liga Super pada 25 Mei lalu.

Selain itu, dia juga berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu The Rhinos muncul pemenang tempat ketiga kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta minggu lalu dan dia berharap mampu untuk memberikan aksi lebih baik dalam memastikan Sabah FC mara sejauh mungkin di pentas Piala FA.

Jafri sedia galas tugas sebagai penyerang utama (kredit foto: Sabah FC)

“Untuk permulaan dalam aksi liga, nak kata saya berpuas hati pun tidak boleh juga sebab liga masih lagi panjang. Banyak lagi yang saya kena perbaiki tetapi tahap keyakinanan sekarang sudah semakin baik untuk saya cuba lagi menjaringkan gol selepas ini.

“Apa pun, kami memang tak ambil mudah untuk lawan KL Rovers sebab kita tahu pemain-pemain mereka adalah berpengalaman dan pernah bermain di Liga Super juga,” katanya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga turut mengakui dua aksi yang dihadapi di Jakarta benar-benar menguji kemampuan barisan pemain sebagai persiapan untuk menghadapi musim yang masih panjang.

Aksi Jafri ketika membantu Sabah FC raih tempat ketiga kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta (kredit foto: Sabah FC)

“Kejohanan itu memang bagus untuk pasukan kami sebab sekurang-kurangnya dapat buat persiapan yang lebih baik sebelum Liga Malaysia kembali bersambung dan banyak yang kami belajar serta dapat tahu di mana kelemahan yang ada selain menaikkan tahap keyakinan para pemain,” jelasnya.