PEMILIK rekod kebangsaan baling tukul, Jackie Wong menang pingat emas Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia 2023 namun balingannya terlalu jauh dari catatan kebangsaan, apabila hanya mampu mencapai 62.03 meter (m).
Pencapaian itu jauh meleset berbanding sasaran peribadinya 64m.
Justeru, Jackie mengakui kecewa dan tidak berpuas hati dengan prestasinya kali ini.
“Saya terpaksa berpuas hati dengan catatan hari ini iaitu 62.03m. Sebenarnya saya tak puas hati kerana tak dapat capai sasaran iaitu 64m.
“Sebab saya baru sahaja start ‘loading’ bulan Januari dan selesai buat MRI untuk kecederaan saya,” kata Jackie.
Atlet kelahiran Sarawak itu mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat lontaran sejauh untuk 62.03m bagi meraih pingat emas manakala perak dimenangi atlet Negeri Sembilan, Sadat Marzuqi Ajisan dengan catatan 58.64 m.
Gangsa milik atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rizhan Rajmi dengan catatan 43.4 m.
“Saya harap baki tempoh yang ada ini dapat digunakan sebaiknya untuk dapatkan semula rentak kerana saya mahu sasar pingat di temasya Sukan Sea Kemboja nanti,” kata Jackie yang memenangi pingat emas di temasya Sukan Sea Hanoi 2021.
Untuk rekod, Jackie memegang rekod kebangsaan dengan catatan 68.22m yang dilakukan pada 2019.