JAGUH bina badan Malaysia, Sazali Samad menggesa Persatuan Bina Badan (NABBA) Malaysia mengambil berat tentang atlet bertanding agar atlet dan persatuan tersebut terus bergerak ke hadapan.
Jelasnya, dengan tertubuhnya persatuan baharu ini, dia sangat berbesar hati untuk melihat lebih banyak lagi jaguh di peringkat Asia dan dunia yang bakal dicipta.
“Jaguh itu sudah ada, apa saja perancangan. Persatuan haruslah mengambil tahu tentang atlet, bagaimana hendak menjadikan atlet lagi bagus untuk majukan pasukan dan persatuan.
“Apabila adanya penubuhan persatuan baru ini, saya hendak lihat lebih banyak jaguh bertaraf asia dan akar umbi.
“Atlet lain banyak lagi sudah nampak, jadi kita ambil tahu, apa sahaja keperluan. Hendak mencapai Sazali Samad, saya belum nampak lagi, dia mesti duduk semeja dengan saya, ” kongsinya ketika ditemubual media di Taman Tasik Putrajaya Presint 8.
Dalam pada itu, atlet berusia 55 tahun itu sempat berkongsi rahsia untuk menjadi jelmaan ‘Sazali Samad’ yang baru.
Kriteria dia, disiplin harus kuat, semangat juang harus kuat untuk menaikkan nama negara. Boleh jadi macam Sazali Samad, naik bulu roma saya,” katanya pernah merangkul gelaran Mr Universe.
Bagi yang mempunyai cita-cita tetapi punyai masalah dari segi kewangan, dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu akui seseorang atlet itu mampu mengatasi segala kesukaran sekiranya minat mendalam dan semangat juang yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Tekanan dari segi kewangan itu memang ada, tapi jangan kita jangan anggap benda itu berat. Paling penting, jiwa kita, minat mendalam dalam apa sahaja aktiviti sukan,” ujarnya.