PEMAIN tengah baharu Johor Darul Ta’zim, Jalil Elias berpuas hati dan gembira dengan kemenangan yang dicapai Harimau Selatan ketika menewaskan Negeri Sembilan FC 3-1 dalam aksi pembukaan Liga Super 2024-25 pada Sabtu.
Jalil yang menyertai JDT pada awal tahun mengakui cukup teruja dapat beraksi di Stadium Sultan Ibrahim dan dia mahu mengekalkan momentum kemenangan ini serta akan memberikan aksi yang lebih baik pada perlawanan akan datang.
Pemain kelahiran Argentina dan memiliki kerakyatan Syria itu sebelum ini membantu negara angkatnya di Kejohanan Piala Asia di Qatar nyata memberikan satu dinamik baharu buat juara bertahan Liga Super itu.
“Saya sangat gembira dapat beraksi kerana sudah menunggu lama saat ini dan juga gembira dapat bantu pasukan raih kemenangan. Ini satu permulaan yang baik buat pasukan dan saya harap dapat teruskan momentum positif ini bersama JDT,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Ketenangan dia mengawal bahagian tengah menjadi tarikan baharu buat penyokong JDT selain dia turut diberikan penghargaan menyarung jersi keramat nombor 7 yang sebelum ini menjadi milik Aidil Zafuan selama sedekad.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio menggandingkan Jalil bersama-sama Nazmi Faiz Mansor untuk menjana serta merencana serangan Harimau Selatan dan ianya kelihatan cukup baik pada perlawanan itu selepas beraksi cemerlang pada latihan pramusim di Sepanyol.
Gandingan ini dijangka akan menjadi lebih baik dan bertambah baik dari semasa ke semasa apabila lebih banyak bermain bersama-sama dan mula memahami rentak serta cara permainan antara satu sama lain.
Jalil dan Nazmi masih belum tentu diturunkan pada aksi kedua Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC kerana Hector mengamalkan konsep penggiliran pemain bagi memastikan skuadnya berada dalam keadaan terbaik pada setiap masa.