PASUKAN berbasikal profesional dari Sepanyol, Burgos BH mempertaruh pengalaman pelumba Mongolia, Jambaljamst Sainbayar, pada saingan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Sainbayar, bukanlah nama asing kepada peminat sukan berbasikal lebuh raya negara, selepas mewakili pasukan profesional tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG), sejak 2021 hingga 2023 dan melakar banyak kejayaan bersama TSG termasuk memenangi jersi putih pelumba terbaik Asia pada LTdL 2022 dan pemenang jersi kuning Jelajah Thailand 2021.
Sainbayar, 27, baru menamatkan misi Mongolia di Sukan Olimpik Paris dalam acara lebuh raya dengan menduduki tangga ke-57 dan ujian masa individu di tempat ke-28, berpisah dengan TSG dan menyarung jersi Burgos BH sejak hujung 2023 dengan kontrak setahun sebagai usaha mengembangkan sayapnya bertanding di peringkat eropah selepas bergelar pelumba profesional pertama Mongolia.
Pasukan Burgos BH, begitu serius mengembangkan sayap mereka di peringkat rantau Asia dengan melakar beberapa kejayaan di perlumbaan serantau termasuk memenangi 3 peringkat perlumbaan di Tour of Qinghai Lake (2.Pro) dan Tour of Sharjah.
Selain kehadiran Sainbayar yang pastinya mahir dalam selok belok keadaan perlumbaan di Malaysia, tiga lagi rakan sepasukannya yang harus diberikan tumpuan adalah Antonio Eric Fagundez (Uruguay), Mario Aparicio (Sepanyol), Ander Okamika (Sepanyol) dan melengkapkan senarai enam pelumba ialah Clement Alleno (Perancis) dan Georgios Bouglas (Greece).
Fagundez, Aparicio dan Okamika mempunyai keupayaan seimbang dan mampu menggalas cabaran sebagai pelumba GC buat Burgos BH. Kejayaan manis yang pernah dilakar Burgos BH di LTdL adalah kemenangan peringkat kelapan pada 2022 menerusi Alex Molenaar.
Sebanyak 22 pasukan termasuk tiga pasukan berstatus World Team – EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan Team ( Kazakhstan) dan DMS Firminich PostNL (Belanda) – bakal menghangatkan saingan perlumbaan LTdL 2024.
LTdL 2024 yang memasuki edisi ke-28 tahun ini dijadual berlangsung daripada 29 September hingga 6 Oktober depan membabitkan lapan peringkat merangkumi laluan sejauh 1,190 kilometer.
Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung-julung kalinya bakal berlangsung di dua bandar di Sarawak iaitu Miri (peringkat ketujuh) dan Bintulu (peringkat kelapan).