PEMAIN sayap kacukan negara, Jaami Qureshi sebelum ini berdepan spekulasi akan menyarung jersi pasukan kebangsaan Iraq namun berkemungkinan besar perkara itu tidak akan berlaku.

Bekas pemain kelab England, Brighton & Hove Albion ini difahamkan berada di Malaysia untuk melengkapkan proses dokumentasi pasport yang membolehkan pemain muda berusia 18 tahun itu berpotensi untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

Jaami dan ayahnya Perviz Qureshi dilaporkan berjumpa dengan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghadiri satu sesi perbincangan.

Menerusi laman Instagram rasmi Jaami, kelihatan pemain itu telah memuat naik satu gambar bersama dengan pemain pasukan kebangsaan iaitu Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh.

Menerusi satu ciapan Syafiq Freman di laman twitternya mendedahkan bahawa Jaami dijangka bakal menyelesaikan dokumentasi pasportnya dalam masa terdekat akan tetapi dia akan kekal beraksi bersama kelab di England.

 

Untuk musim 2021/2022, Jaami telah beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris Bawah 18 untuk Brighton dan sudah bermain 13 perlawanan dengan berjaya mencetak dua gol serta menyumbang dua bantuan gol.

Jaami boleh beraksi untuk tiga negara iaitu Iraq (negara bapanya), Malaysia (negara ibunya) dan juga England dimana tempat Jaami dilahirkan.