PERTAHANAN baharu Negeri Sembilan FC, Zainal Abidin Jamil yang bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Khuzaime Piee enggan dirinya dibandingkan dengan pemain Harimau Malaya yang menyertai Selangor FC musim ini.
Memulakan karier remajanya di Felda United pada musim 2020, Zainal Abidin bersama skuad Piala Presiden PJ City pada musim berikutnya dan diserap oleh P.Maniam di dalam saingan Liga Super.
Musim 2022 memperlihatkan Zainal meraih kepercayaan diletakkan dalam skuad kebelasan utama dengan melakukan 20 penampilan secara keseluruhan di Liga Malaysia.
“Saya tahu kedatangan saya ke sini bagi mengambil tempat Khuzaimi yang berhijrah ke pasukan lain tetapi saya dengan dia adalah dua pemain yang berbeza.
IT’S TIME TO DEFEND PAROI 🟡⚫🔴
Pemain pertahanan, Zainal Abidin Jamil muncul sebagai benteng ampuh terbaharu direkrut K.Devan. pic.twitter.com/0Z4LgV7FXX
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) January 13, 2023
“Di sini, masih ada ramai pemain yang tidak kurang hebatnya seperti Nasrullah Haniff, Annas Rahmat malah Herold Goulon.
“Saya harap peminat tidak ada yang membandingkan saya dengan Khuzaime Piee, jadi fokus saya adalah mahu bersaing dahulu dalam pasukan bagi mendapatkan tempat serta memburu minit permainan kerana saya sedar sebagai pemain baharu, tiada jalan pintas.
“Saya harap keputusan bersama Negeri Sembilan akan membuatkan saya lebih dikenali di persada Liga Malaysia serta membantu pasukan ini mendapatkan keputusan yang cemerlang sepanjang musim 2023,” katanya.
Selain pemain kelahiran Pahang ini, beberapa bekas rakan sepasukan seperti Mahalli Jasuli, Aroon Kumar, R.Barathkumar dan Filemon Anyie turut menyertai Negeri Sembilan FC musim ini.