TIDAK boleh alpa dan meneruskan prestasi seperti mengatasi Indonesia hari ini atau peristiwa menimpa skuad hoki dalam dewan lelaki, berulang.

Barisan pemain skuad hoki padang negara diberi amaran agar pingat emas yang diharapkan dalam acara ini di Sukan Sea Kemboja 2023 tidak terlepas.

Peringatan itu diberikan pengurus pasukan hoki padang, I Vickneswaran selepas skuad kendalian Amin Abdul Rahim melepaskan dua gol mudah buat Indonesia pada perlawanan terakhir liga sepusingan di Padang Hoki Kompleks Sukan Nasional Techo Morodok, Phnom Penh biarpun pada awalnya mendahului selesa dengan keputusan 4-0.

Pemain negara meraikan jaringan pertama ke atas Indonesia.

Enggan prestasi sama ditampilkan, Vikneswaran sama sekali tidak mahu wabak hoki dalam dewan melanda skuad kendalian Muhammad Amin Rahim.

“Kita tidak mahu perkara ini menjadi wabak kepada pasukan hoki padang,lepaskan dua gol dalam masa dua minit, kita tidak boleh benarkan perkara sebegini berlaku, dan inilah pengajaran yang kita peroleh pada hari ini.

“Kita hanya boleh bertenang bila perlawanan sudah tamat, bukannya lima ataupun seminit sebelum perlawanan berakhir.

“Pingat emas sangat penting kerana harapan disandarkan kepada kita (hoki), jadi kita di sini pun ada piawaian kami. Tiada alasan lain, kami perlu menang dalam perlawanan akhir,” kata Vickneswaran.

Pengurus hoki padang negara, I Vickneswaran mahu pemain mempertahankan maruah hoki negara.

Malaysia mengesahkan ke perlawanan akhir sebagai juara kumpulan dengan mengumpul 12 mata, bakal membuat perhitungan dengan Singapura di final pada Selasa ini.

Sebelum ini, skuad hoki dalam dewan Indonesia mencipta sejarah apabila memalukan skuad negara untuk meraih pingat emas lelaki apabila mempamerkan kebangkitan mengikat Malaysia 3-3 dalam masa sebenar permainan sebelum menewaskan skuad negara 2-1 menerusi penalti shootout.