INSTITUT Hak dan Demokrasi Bahrain (BIRD) menggesa badan induk sukan Formula 1, FIA, supaya membenarkan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dan pemandu lain bebas menyuarakan isu politik.
BIRD yang berpangkalan di London membuat usul itu sebagai respon kepada FIA, yang mengemaskini Kod Sukan Antarabangsanya September lalu, dengan memasukkan klausa bahawa pemandu perlu memohon kebenaran bertulis untuk mempamer dan menyuarakan komen, pendirian peribadi, berbaur politik dan keagamaan.
Hamilton yang juga pemandu pasukan Mercedes, adalah pelumba paling berjaya sepanjang zaman dalam sukan permotoran itu, telah menggunakan profil dan platform peribadinya untuk menyuarakan pencabulan hak asasi dan ketidakadilan rasis di seluruh dunia.
“Langkah ini diambil sebagai reaksi kepada pemandu, khususnya Lewis Hamilton, yang membangkitkan kebimbangan mereka mengenai lokasi yang dipilih untuk perlumbaan F1, termasuk rekod hak asasi kemanusiaan negara yang menjadi tuan rumah sehingga organisasi anda sendiri berdiam diri,” kata Pengarah BIRD, Sayed Alwadaei dalam suratnya kepada Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, pada Selasa.
Musim baru F1 akan bermula pada 5 Mac di Bahrain selepas ujian pramusim di sana.
Timur Tengah memiliki empat perlumbaan tahun ini iaitu di Bahrain, Arab Saudi, Qatar dan Abu Dhabi.
The London-based Bahrain Institute for Rights and Democracy (BIRD) urged Formula One's governing body on Tuesday to allow seven times world champion Lewis Hamilton and other drivers to speak freely on 'political' issues. https://t.co/nFpmiDZ34w
— Reuters Sports (@ReutersSports) January 24, 2023
FIA dalam kenyataan terkininya berkata, sukan perlu bebas dari politik namun, Alwadaei mendakwa, kenyataan itu hadir semata-mata ditujukan kepada Hamilton.
“Kami beritahu kepada Mohammed Ben Sulayem bahawa polisi ini salah dan mesti disemak segera,” katanya.
Terdahulu, bos pasukan Mercedes Toto Wolff memberitahu kepada wartawan bahawa perubahan peraturan itu bukanlah hal yang besar.
“Kami akan lihat apa sebenarnya yang terjadi,” kata Wolff yang berasal dari Austria.
“Saya tidak ragu-ragu bahawa Mohammed dan FIA mahu mencapai keputusan yang betul, cuma mahu memperbetul keadaan kerana pemandu terlalu bebas bercakap sebelum ini.
“Saya tahu Mohammed sudah bercakap dengan Lewis… ia adalah perbincangan positif. Saya pasti apabila mereka duduk semeja, tiada apa yang kasar seperti mana mereka tulis di luar musim.” – Reuters