PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, bertemu skuad Harimau Malaya serta barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan menjelang saingan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijadualkan bermula Rabu ini menentang Turkmenistan.
Meskipun Harimau Malaya mencatat dua kemenangan dalam dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Brunei dan Hong Kong, Datuk Haji Hamidin menganggap prestasi pemain perlu lebih dipertingkatkan.
“Diakui dua kemenangan ke atas Brunei dan Hong Kong adalah permulaan baik kepada persiapan kita, namun ia tidak bermakna jika kita tidak lakukan yang lebih baik di pertembungan sebenar.
“Saya ingatkan pemain untuk tidak lena dibuai dengan sanjungan dan pujian, sebaliknya jadikan ia inspirasi untuk terus melawan.
“Dalam kita dipuji, tidak kurang juga ada yang mengkritik, maka terus jadikan pertembungan ini untuk medan membuktikan kemampuan masing-masing.
“Berdasarkan pemantauan saya dalam dua aksi persahabatan ini masih ada kelompongan yang perlu kita baiki kerana kita tidak boleh sesekali memandang rendah lawan, ini tugas penting,” katanya.
Harimau Malaya dibawah bimbingan Kim Pan Gon akan menghadapi tugasan lebih penting iaitu Kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu ini disusuli Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh pada 14 Jun.