PENULIS menyambut baik usaha Hannah Yeoh untuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi menjayakan penganjuran Sukan SEA di Malaysia pada 2027.

Bagi penulis yang diberi peluang membuat liputan Sukan SEA 1993, 1997, 1999, 2001 dan 2003 serta menjadi penonton sejak edisi 1989, kesempatan menganjurkan temasya dwitahunan ini tidak harus dilepaskan.

Apatah lagi penulis berpandangan bahawa Kerajaan terlepas peluang untuk mempromosi negara apabila menolak peluang menjadi hos Sukan Komanwel 2026.

Tidak seperti sentimen kebanyakan yang menganggap bahawa terlalu singkat untuk menjayakan penganjuran Sukan Komanwel 2026 dan memerlukan kos yang tinggi, penulis berpendapat geran yang disediakan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebanyak lebih RM600 juta adalah penting atas dua sebab.

Malaysia kali terakhir menganjurkan Sukan SEA 2017 secara gilang gemilang di Kuala Lumpur.

Penulis melihat geran itu bermatlamat serampang dua mata. Bukan sahaja ia boleh menampung kos penambahbaikan infrastruktur sedia ada tetapi juga boleh dijadikan wang benih untuk penyediakan ke Sukan SEA 2027.

Ini bermakna andai kos menjayakan Sukan Komanwel 2026 menelan anggaran RM800 juta, Kerajaan hanya perlu menyediakan RM200 juta dari segi program penyediaan atlet dan kos penginapan bagi temasya yang akan diadakan pada skala sederhana, bukan besar-besaran mengikut model penganjuran terdahulu seperti 1998.

Penulis percaya Malaysia tidak perlu membina kemudahan atau kelengkapan baharu sebaliknya menaik taraf infrastruktur sedia ada, sekali gus memastikan negara mempunyai kemudahan sesuai untuk Sukan Komanwel 2026 dan Sukan SEA 2027.

Malangnya keputusan menolak Sukan Komanwel menyebabkan kita kembali kepada kosong.

May be an image of 4 people and text

Hannah Yeoh mendedahkan kos penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka melebihi RM700 juta.

Hannah pula dipetik sebagai berkata kos penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka melebihi RM700 juta, iaitu kos menjayakan Sukan SEA 2017 sedangkan Persekutan Sukan SEA (SEAGF) sudahpun memberi hak penganjuran kepada Malaysia susulan penarikan diri Brunei?

Di manakah Tan Sri Hashim Ali yang mahu Kerajaan menolak Sukan Komanwel tetapi memberi tumpuan kepada Sukan SEA?

Apakah Malaysia tidak ada cita-cita untuk mengekalkan reputasi Malaysia yang gah sebagai penganjur yang hebat?

Nampaknya ramai sudah lupa bahawa temasya seperti Sukan Komanwel dan Sukan SEA mempunyai capaian audiens yang cukup besar.

Pasaran Sukan SEA mencecah hampir 700 juta penonton di 11 negara anggota, manakala negara-negara Komanwel hampir 80 negara.

Peminat Malaysia pastinya tidak ketinggalan hadir menyokong atlet negara berjuang di semua acara.

Bagaimana Kerajaan boleh mengaut semula pendapatan dan mendapat keuntungan daripada penganjuran temasya pelbagai sukan?

Andai Sukan SEA tiada harga yang diletakkan pada hak penyiaran televisyen, Sukan Komanwel ada nilainya.

Selain kehadiran atlet, pegawai dan kontinjen media yang menjana pendapatan ekonomi domestik dari segi penginapan dan perbelanjaan harian, nama Malaysia akan dipasarkan menerusi media ke hampir 80 negara.

Dengan geran sebanyak RM600 juta daripada CGF, Malaysia tidak perlu berbelanja besar untuk membida hak penganjuran.

Jumlah pelancong akan meningkat, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Bagi Sukan SEA pula, kelompok manusia paling beruntung andainya temasya itu diadakan pada 2027 ialah atlet yang boleh bersaing ke temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Mengikut tradisi, Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan bajet lebih besar untuk program penyediaan latihan atlet negara menjelang temasya yang dianjurkan Malaysia.

Ini akan membolehkan mereka menikmati persiapan lebih rapi, tersusun termasuk pendedahan luar negara lebih jitu serta kepakaran jurulatih asing yang boleh meningkatkan prestasi mereka.

Kesudian Kerajaan Negeri Sarawak untuk menjadi hos bersama dengan kesediaan menampung kos penganjuran juga harus memberi insentif kepada Kerajaan Madani meluluskan penganjuran Sukan SEA.

Lagipun dengan banyak pihak luar sudah memberi jaminan pelaburan berjumlah berbilion ringgit yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba masa Sukan SEA 2027 diadakan di negara ini bagi memberi peluang generasi Z dan Alpha belajar menjadi hos yang cemerlang.

Hakikatnya, Malaysia tidak pernah menolak lantikan menjadi hos Sukan SEA terdahulu. Kerajaan Madani pastikan Malaysia menjadi hos.