DALAM dunia sukan, pemain sering dijadikan idola oleh golongan muda, terutama pelajar sekolah.
Oleh itu, tindakan tegas harus diambil untuk menangani budaya kekerasan dalam bola sepak apabila melibatkan insiden seperti menyerang pengadil.
Tindakan ini penting untuk menjadi contoh yang baik kepada generasi muda. Jika idola mereka menunjukkan tingkah laku yang tidak wajar, pelajar mungkin akan mengikutinya, yang akhirnya boleh mencetuskan masalah lebih besar.
Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh berpandangan, ketua guru dan pengurus pasukan sekolah mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan tingkah laku seperti ini tidak berlaku.
“Kejadian di mana pemain bertindak keras terhadap pengadil tidak sepatutnya diambil ringan. Sebaliknya, perlu ada langkah yang jelas dan tegas untuk mengatasi masalah ini. Ini bukan sahaja untuk menjaga disiplin dalam pasukan, tetapi juga untuk memastikan imej bola sepak Malaysia tidak tercemar di mata dunia.
“Apabila insiden seperti ini berlaku dan tersebar di media sosial, ia bukan sahaja dilihat oleh masyarakat Malaysia tetapi juga dunia luar. Ini mencalarkan imej Malaysia dan sukan bola sepak khususnya,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN : Drama ‘sepak tendang’ lagi di padang bola sepak
Portal ini pada Rabu melaporkan satu insiden pergaduhan yang tular di seluruh negara membabitkan pemain dan pegawai perlawanan telah berlaku semasa Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kubang Pasu Bawah 18 Tahun di Jitra, Kedah.
Drama 'sepak tendang' lagi di padang bola sepak@FAM_Malaysia https://t.co/J9XZyge1Ns pic.twitter.com/tWLtpPW5zP
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 22, 2024
Subkhiddin yang terpilih sebagai pegawai keempat untuk Piala Dunia Fifa 2010 mahu pihak yang berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan badan yang mengawal selia bola sepak di Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, mereka perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden ini, termasuk pemain, pengurus, dan juga guru yang bertanggungjawab.
“Tindakan yang tegas diperlukan bukan sahaja untuk menghentikan budaya ini, tetapi juga untuk mendidik anak-anak muda tentang pentingnya disiplin, toleransi, dan semangat kesukanan. Ini adalah nilai-nilai yang sepatutnya diterapkan melalui sukan, bukan budaya samseng yang mencemarkan nama baik negara dan sukan itu sendiri.
“Guru dan pengurus pasukan sekolah perlu memastikan mereka sendiri menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar. Mereka juga perlu memastikan bahawa perlawanan dijalankan dengan adil dan penuh disiplin.
“Jika mereka sendiri terlibat dalam insiden keras atau gagal mengawal pemain, mereka juga perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan,” katanya.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata, budaya melampau dalam bola sepak perlu dihapuskan dari peringkat sekolah lagi. Jika tidak, ia akan terus berlarutan hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita tidak mahu melihat anak-anak kita terlibat dalam budaya samseng yang mencemarkan imej sukan negara. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu bekerjasama untuk memastikan sukan dijalankan dengan penuh disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya memberi idea supaya menyenaraihitamkan pemain terlibat bukan sahaja bola sepak tetapi dalam sukan lain juga.