PASUKAN Tobaki Pink Racing menjanjikan kebangkitan selepas dua pelumba sandaran kategori CP125 tidak bernasib baik dalam pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu yang telah melabuhkan tirai pada 25 Jun lepas.

Prinsipal pasukan, Nur Atikah Azwar, menjelaskan kepada Flash Sukan bahawa masalah jentera menjadi faktor Md. Harith Farhan Baharin tiba di garisan penamat di tempat kelapan manakala Saiful Azhary Muhamad gagal menamatkan perlumbaan.

“Kami agak terkejut apabila enjin jentera Md. Harith tiba-tiba meletup ketika sesi ‘shootout’ di sebelah pagi sementara jentera Saiful pula mengalami masalah elektronik di awal perlumbaan.

“Untuk pusingan berikutnya di Jempol, Negeri Sembilan, barisan pelumba sudah berazam menebus kehampaan dan memburu kedudukan podium,” ujarnya kepada media.

Sementara itu Harith Farhan mengakui kurang bernasib baik apabila mengalami masalah jentera walaupun beraksi cemerlang di pusingan kelayakan pada Jumaat.

Jelasnya, dia cuba memberikan aksi terbaik setelah bermula dari petak ke-10 dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan dengan catatan masa 13 minit 19.749 saat (s).

“Dari posisi ke-10 saya tercicir sehingga ke kelompok pelumba di belakang dan dengan enjin yang tidak pernah digunakan, saya berusaha mendapatkan rentak.

“Sudah tentu saya mahu bangkit untuk aksi di Jempol, 16 dan 17 Julai ini selain berdoa masalah jentera tidak berulang lagi,” katanya.