BERGSON Da Silva terus unggul menerajui tangga teratas sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan tujuh gol selepas saingan minggu kelima.

Penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berpotensi merangkul gelaran Kasut Emas seandainya kekal konsisten setiap permainan menggegar jaring lawan untuk perlawanan akan datang.

Bisa Bergson juga terserlah di peringkat antarabangsa apabila menjaringkan gol penting Harimau Selatan pada pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim menewaskan pendahulu semasa Liga Korea 1, Ulsan Hyundai 2-1 pada Isnin.

Namun, laluan mesin gol terbaharu JDT itu tampak tidak mudah apabila pemain Merah Kuning, Caion cuba mengejar Bergson yang menghasilkan lima jaringan berdasarkan info grafik Malaysian Football League (MFL).

Sementara itu, terselit nama pemain tempatan Darren Lok yang berada pada kelompok tiga teratas, kini meledak empat gol. Ia sesuatu yang memberi kesan positif kepada Darren membuktikan dirinya juga boleh mencabar awang import selaku penjaring dalam liga.

Bisa Bergson juga terserlah di peringkat antarabangsa apabila menjaringkan gol penting Harimau Selatan pada pertandingan Liga Juara-Juara AFC. Foto: JDT

Fernando Forestieri (JDT) dan Ronald Ngah (KDAFC) masing-masing berjaya menyumbat tiga gol. Sementara itu skor dua gol terhasil menerusi Fayadh Zulkifli Amin (KDAFC), Herold Goulon (Negeri Sembilan FC), Hilal El-Helwe (Penang FC), Kpah Sherman (TFC) dan Paulo Josue & Romel Morales (Kuala Lumpur City).

Martin Adamec yang mewakili PDRMC FC muncul pendahulu semasa gol terbanyak bagi kempen Liga Premier dengan empat gol. Dua pemain JDT II. Fernando Rodriguez – Moussa Sidibe serta Nik Sharif Haseefy Lazim (Selangor FC II , Njoku Jacob (Kelantan United) dan Nurshamil Abb Ghani (Kelantan FC) masing-masing berkongsi tiga gol.

Turut tersenarai, Daryl Sham (JDT II), Farid Khazali (Perak FC), George Attram (Selangor FC II) Jordan Mintah (Terengganu FC II) dan Mirbek Akhmataliev (PDRM) yang menghasilkan dua gol.