GOL menakjubkan yang dijaringkan penyerang kebangsaan, Faisal Halim ketika menentang Republik Korea di Piala Asia 2023 telah dipilih sebagai salah satu calon Gol Terbaik Kejohanan yang dikeluarkan laman rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Faisal menjaringkan gol pertama pada minit ke-52 dalam aksi di Stadium Al Janoub ketika Malaysia bangkit mengikat skuad kendalian Jurgen Klinsmann ketika itu 3-3 yang menjadi buah mulut dan perhatian seluruh peminat bola sepak di Asia.

Selain Faisal, tujuh lari jaringan telah disenaraikan oleh AFC dalam kejohanan yang menyaksikan 132 jaringan diledak dalam 51 perlawanan sekali gus mencatat purata 2.59 gol untuk setiap aksi.

Tujuh jaringan yang turut mendapat undian adalah gol pemain Jepun, Keito Nakamura ketika menentang Vietnam, jaringan pemain Arab Saudi, Abdulrahman Ghareeb ketika bertemu Oman serta jaringan pemain Qatar, Hassan Al Haydos ketika berdepan China.

Selain itu jaringan pemain Thailand, Supachok Sarachat ketika aksi Pusingan 16 bertemu Uzbekistan turut tersenarai beserta gol Son Heung-min ketika bertemu Australia pada suku akhir selain jaringan Mousa Al Tamari pada separuh akhir ketika membenam Republik Korea.

Penyerang sensasi Iran, Sardar Azmoun turut tersenarai ketika menjaringkan gol di peringkat separuh akhir bertemu Qatar yang juga antara gol terpantas kejohanan yang berlangsung meriah di Qatar.

Faisal Halim

Ketika artikel ini ditulis, Faisal Halim sedang mendahului pungutan undian dan dijangka meningkat berdasarkan kesedaran penyokong bola sepak tempatan tentang perkara ini.

Undian akan ditutup pada 25 Februari 2024 jam 10 malam waktu Malaysia dan diharap jaringan Faisal Halim akan dinobatkan sebagai jaringan terbaik Piala Asia kali ini.