PEMAIN pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin gembira apabila berjaya menjaringkan gol buat kelab sekaligus meningkatkan semula keyakinan dirinya selepas pulih dari kecederaan yang dialami.
Pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan gol pertama JDT dan kedua peribadi ketika membantu Harimau Selatan menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
“Pertama sekali saya bersyukur dapat jaringkan gol kedua dalam Liga Super. Ini adalah peluang untuk saya lakukan yang terbaik dan ini adalah kemenangan untuk kelab JDT.
“Gol yang dapat dijaringkan ini sangat membantu saya tingkatkan prestasi saya. Malah saya juga gembira kerana gol itu adalah penting untuk kelab meraih kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Ditanya adakah dia mengalami kesukaran untuk kembali beraksi selepas mengalami kecederaan, Feroz menjelaskan bahawa dia sebenarnya agak risau dengan prestasinya selepas pulih tetapi gol ini akan membantu dirinya dapatkan semula keyakinan diri.
“Pada awalnya agak bergelut selepas pulih dari kecederaan. Saya agak risau dengan prestasi saya selepas kembali bermain dan lega jaringan ini dapat berikan keyakinan untuk saya bersedia bagi menghadapi perlawanan akan datang,” jelasnya.
Pemain pertahanan kebangsaan ini juga menganggap cabaran yang dihadapinya di kelab bersaing bersama-sama pemain import adalah perkara yang baik buat dirinya dan dia hanya fokus kepada persembahan dirinya sahaja.
“Saya rasa ini adalah baik untuk saya sebagai cabaran untuk bersaing dengan pemain import. Saya tidak terlalu pandang pada pemain import ini sebaliknya hanya fokus pada diri saya dari satu permainan ke permainan lain dan cuba buat yang terbaik pada masa akan datang.”