PENYERANG dan juga ketua pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Radzak mendedikasikan gol pertama peribadinya dalam Liga Super musim ini sebagai hadiah Hari Ibu kepada ibu dan isterinya yang banyak menyokong dan mendoakannya kejayaannya.

Zaquan menjaringkan gol pembukaan ketika membantu Negeri Sembilan membenam Kuala Lumpur City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dan mahu menjadikan kemenangan ini sebagai titik tolak kebangkitan pasukan Hobin Jang Hobin.

“Jaringan ini adalah hadiah Hari Ibu terutama kepada ibu dan isteri saya dan juga mungkin rezeki anak baharu saya. Saya akan terus kerja keras dan usia itu kita tolak ketepi kerana itu sekadar angka dan yang penting saya masih semangat dan akan berikan sepenuh keringat kepada pasukan.

“Alhamdulillah dan terima kasih atas doa mak dan isteri saya yang sangat penting untuk saya. Kemenangan ini juga adalah penting buat pasukan kerana kami sukar untuk mendapat tiga mata dalam perlawanan sebelum ini dan mungkin menjadi titik tolak kebangkitan pasukan ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Kembar kepada pertahanan Johor Darul Ta’zim, Aidil Zafuan itu juga sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan kerana sedar mereka berada dalam keadaan serba kekurangan kerana kekurangan pemain import dan mahu mereka terus berikan 100 peratus tumpuan ketika bekerja.

“Kita adalah satu pasukan yang kekurangan pemain import dan kredit saya berikan kepada pemain yang ada terutama pemain tempatan kerana berjaya bersaing dengan baik untuk menampung kekurangan yang ada.

“Saya sentiasa ingatkan pasukan tidak ada yang mustahil dalam bola sepak dan kita perlu beri 100 peratus dengan jujur dan ikhlas. Menang atau kalah kita hadapi bersama dan harap keharmonian dalam pasukan ini dapat dikekalkan menjelang baki enam perlawanan sebelum jendela perpindahan kedua dibuka Julai nanti,” tambahnya.

Kemenangan ketiga musim ini meletakkan Negeri Sembilan di tangga kesembilan dengan 13 mata, berkongsi mata yang sama dengan Terengganu FC namun dipisahkan perbezaan jaringan selepas berakhir sepuluh perlawanan.