LEDAKAN hatrik yang diukir oleh Amri Yahyah masih hangat diperkatakan peminat bola sepak tempatan sehingga kini dan video jaringannya juga tular di laman media sosial.

Penyerang veteran Sabah FC itu mencuri tumpuan ramai kerana mampu menggegarkan jaring Kedah Darul Aman FC sebanyak tiga kali pada usia 41 tahun dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada Ahad.

Bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal (gambar) dalam ciapan Twitter mengimbas kembali detik manis Amri semasa pemain itu bersama dengannya dalam skuad kebangsaan.

“Dia mempunyai watak sendiri. Kecemerlangan yang dia cipta di atas padang kadangkala luar biasa. Amri Yahyah terus mencipta momen hebat seperti ini.

“Gol menentang Manchester United adalah salah satu yang Amri hadiahkan kepada saya sebagai kenangan terindah semasa saya berkhidmat di pasukan kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Nidzam Jamil menyifatkan bekas juniornya itu sebagai pemain yang berhati kering semasa mereka sama-sama terlibat dalam perlawanan pramusim Selangor pada tahun 2001.

Pre season Selangor tahun 2001 coach Haji Rahman (Ibrahim) panggil seorang budak ala-ala mat motor dari team belia join senior team training.

Gua tackle dia bangun, gua langgar dia datang lagi. Jenis hati kering. Semalam (Ahad) budak mat motor tu score hatrik di usia 41 tahun. My huge respect to Amri Yahyah,” kata Nidzam.

Wartawan sukan veteran, Mohd Fariq turut berkongsi pengalaman mengenali Amri yang ketika itu berusia 16 tahun dan bermain dalam kejohanan junior Selangor.

“Karektor Amri di luar padang nampak macam lelaki yang kelakar dan dulu saya selalu panggil dia Saiful Apek. Tapi, dari segi bola sepak saya nampak budak ini akan pergi lebih jauh.

“Dia ada semangat jati diri dan kental. Sekali itu, pada hari pertama pasukan kebangsaan dan dalam bulan puasa Amri dalam perjalanan ke Wisma FAM. Hujan begitu lebat dan dia terlibat kemalangan.

“Ramai peminat cakap dia takkan kembali lagi sebagai pemain bola sepak yang perfect dengan keadaan kaki patah. Tapi dia bangkit dan kembali kuat sebagai pemain. Saya juga tak boleh lupa pengalaman semasa buat laporan berita Amri berada di hospital.

“Hatrik yang lakukan bersama Sabah FC memang sempurna bagi saya,” imbasnya kepada Flash Sukan.