SANG Kenari meneruskan rentak kemenangan apabila menumpaskan Terengganu FC 1-0 dalam aksi kedua Liga Super 2023 di Alor Setar pada Rabu.

Pemain gantian, Fadzrul Danel Nizam muncul wira Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan menolak masuk gol selepas memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang Pusic Damagoj, yang sebelum itu diterpa Willian Lira Sousa.

Menurunkan kesebelasan terbaik termasuk lima awang import, Kedah Darul Aman (KDA) FC bermula sedikit perlahan sepanjang babak pertama.

Sekurang-kurangnya dua peluang keemasan nyaris gol dimiliki menerusi gerakan Lee Tuck dan Willian Lira namun sukar menembusi gawang pelawat yang dikemudi oleh Suhaimi Husin.

Acap kali Terengganu melancarkan serangan ke kubu tuan rumah bersama gandingan Sony Norde, Ivan Mamut dan Nik Muhammad Sharif Haseefy tetap tidak membuahkan hasil sehingga berakhir 45 masa pertama.

 

Bersambung babak kedua, kedua-dua pengendali mengambil pendekatan berbeza dengan masing-masing menukar pemain untuk ‘menyegarkan’ kondisi pasukan dalam usaha memecah kebuntuan jaringan.

Kemasukan Adisak Kraisorn dan Syafik Ismail seakan memberi dimensi baharu Terengganu apabila rembatan Kraisorn yang baru beberapa minit di atas padang terus menguji Kalamullah Al-Hafiz.

Kira-kira 21,700 penonton yang hadir untuk melihat kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menarik berpuas hati apabila banyak serangan berbahaya ke kubu lawan masing-masing dapat disaksikan sehinggalah tiupan wisel penamat.

Perlawanan berikutnya, KDA FC menanti kunjungan PDRM FC pada Sabtu manakala Terengganu melayan Kuala Lumpur City FC keesokan harinya.