JARINGAN keempat dalam tiga perlawanan oleh Park Tae Su memberikan tiga mata penuh buat Sabah FC selepas bangkit menewaskan Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Prestasi cemerlang Park ketika berdepan Negeri Sembilan dan JDT berjaya diulangi untuk memberikan kemenangan 2-1 kepada Sabah FC untuk kembali menghampiri pendahulu liga kini, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Meskipun ketinggalan pada babak pertama, beberapa pertukaran yang dilakukan Datuk Ong Kim Swee berjaya merubah wajah skuad The Rhinos pada babak kedua dengan gandingan Park dan Baddrol Bakhtiar berjaya membuahkan hasil.
Terengganu FC (TFC) hanya perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal mempertahankan kelebihan awal menerusi jaringan Manuel Ott apabila bolos dua kali menerusi ‘set pieces’ dan menamatkan rentetan dua kemenangan berturut-turut dalam Liga Super.
7,120 penyokong Sabah FC yang hadir pada aksi malam ini nyata berpuas hati apabila melihat penyerang import yang teruk dikritik, Jose Embalo dikeluarkan dan digantikan oleh Amri Yahyah apabila sekali lagi gagal mempamerkan aksi yang baik.
Kemenangan kelapan dalam liga ini juga dapat menebus kekecewaan Sabah FC apabila tewas pada saat terakhir pada perlawanan terdahulu dan kini mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga dengan 25 mata.
Kekalahan keempat TFC ini pula menyaksikan mereka kekal di tangga keempat dengan 16 mata dan akan berhadapan Negeri Sembilan pada aksi Liga Super selepas ini di laman lawan.