RAFAEL Vitor bukanlah seorang penyerang ataupun pemain tengah, tetapi sebagai bek tengah, dia pernah mencipta jaringan terpantas dalam saingan Liga Super musim lepas.

Pada 3 Ogos 2021, Rafael Vitor menjaringkan gol terpantas dalam Liga Super apabila menjaringkan gol hanya 9 saat selepas wisel pembukaan menentang Perak FC.

Selain itu, dia turut menjaringkan hatrik dalam kemenangan 3-5 untuk Penang FC mengatasi Perak ketika itu ketika permainan baru sahaja ‘belum panas’.

Golnya juga antara yang dikenang oleh penyokong Penang dan kelibatnya dijangka dapat disaksikan lagi peminat setia pasukan itu pada musim depan selepas melanjutkan kontrak baharu selama setahun dengan skuad bergelar Haria Penang Haria.

Sebagai pemain pertahanan yang berketinggian 1.92 meter, dia juga mengamalkan corak permainan keras dalam usaha menyekat pergerakan serangan pihak lawan daripada membuka peluang menghasilkan jaringan.

Dalam satu insiden, semasa perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Likas, dia dikenakan kad merah oleh
pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria selepas membentes keras Saddil Ramdani.

Jangan terkejut, pemain kelahiran Minas Gerais berusia 29 tahun itu juga berkeupayaan menyumbat dua gol dan sumbangan satu assist kepada The Panthers musim ini dan kerap membarisi kesebelasan utama.

Kemaskini terbaharu ‘tanda harga’ dibuat laman transfermarkt.com pada 16 Oktober lalu meletakkan nilai  Rafael Vitor adalah 150,000 Euro (RM716,402).

Bekas tonggak Brasil de Pelotas itu menjadi aset terbaik pasukan Penang FC dan kekentalan mengemudi benteng pertahanan akan menimbulkan perasaan gerun penyerang pasukan lawan di saingan Liga Super 2023.