PENYERANG gantian Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Gabriel Nistelrooy Tamin gembira apabila dapat meledak gol kemenangan pada hujung permainan untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukannya.
Tuan rumah mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Selangor II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), pada Jumaat.
“Jaringan yang tidak dijangka dan juga gol yang begitu bermakna buat pasukan setelah ketinggalan 1-0 di separuh masa yang pertama. Tetapi itu tidak menjejaskan semangat kami satu pasukan untuk membuat epic comeback.
“Saya amat bersyukur kerana telah menyumbangkan gol yang begitu berharga buat pasukan,” katanya kepada Flash Sukan ketika dihubungi.
Bintang muda kelahiran Kolej Vokasional Miri yang bermain di posisi penyerang itu bersedia menggegar lagi jaring lawan jika diberi ruang jurulatih, Mariano Echeverria dalam perlawanan akan datang.
JDT II kini menduduki tangga kedua liga dengan meraih 21 mata, hanya kurang satu mata dibelakang pendahulu semasa Kelantan FC.